Waktu Brunei

Thursday 13 August 2009

DNA IBROHIM, BUKAN NORDIIN M TOP (dI Petik dari Berita Harian Khamis, 13.8.2009)




Suspek ditembak mati penggubah bunga di JW Marriott, Ritz-Carlton




JAKARTA: Lelaki ditembak mati dalam operasi polis Sabtu lalu disahkan bukan suspek pengganas paling diburu di Asia Tenggara, Noordin Mohd Top, sebaliknya adalah seorang penggubah bunga. Ujian DNA daripada lelaki ditembak mati itu tidak menyamai DNA yang diperoleh daripada keluarga Noordin, kata Ketua Unit Pengenalan Mangsa Polis Indonesia, Eddy Eddy Saparwoko semalam.


Noordin, warga Malaysia didakwa terbabit dalam beberapa siri serangan bom di Indonesia sejak 2003 dan menjadi suspek utama dalam serangan bom berkembar terhadap hotel mewah JW Marriott Hotel dan Ritz-Carlton di Jakarta 17 Julai lalu yang membunuh sembilan orang termasuk dua penyerang. "Ujian DNA itu tidak menyamai sampel yang diambil daripada keluarga Noordin," kata Saparwoko pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan. Sebelum ini media tempatan melaporkan Noordin yang diburu di Indonesia dan Malaysia sejak 2001 terbunuh dalam serbuan polis ke atas sebuah rumah terpencil di Temanggung, Jawa Tengah Sabtu lalu.


Saparwoko berkata, lelaki yang mati dalam operasi itu adalah Ibrohim yang bekerja sebagai penggubah bunga di hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton yang diserang bulan lalu. Ketua jurucakap Polis Nasional, Nanan Sukarna, berkata Ibrohim adalah perancang dan penyusun serangan bom ke atas dua hotel milik firma Amerika Syarikat itu, bersama lima yang lain termasuk Noordin masih diburu. Ibrohim yang bekerja di hotel itu sejak dua tahun lalu, mula mengenal pasti sasaran tiga bulan sebelum serangan dan menyeludup masuk bahan letupan me- nerusi tempat punggah barang di tingkat bawah tanah hotel J W Marriott, kata Nanan. Jurucakap polis itu menunjukkan rakaman televisyen litar tertutup hotel itu yang memaparkan seorang lelaki tunggal memunggah turun tiga kotak daripada sebuah pikap kecil. Rakaman video itu juga menunjukkan Ibrohim membawa salah seorang daripada pengebom bunuh diri yang mati – seorang lelaki berusia 18 tahun – memasuki hotel itu pada 8 Julai – seolah-olah membuat raptai bagi serangan berkenaan. "Kami mengenali dia. Dia bekerja sebagai penggubah bunga pihak ketiga," kata Allan Orlob, Ketua Unit Keselamatan Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton yang dimiliki pihak yang sama. Ibrohim meletak jawatan pada hari serangan bom berkenaan dilancar, Orlob memberitahu The Associated Press (AP). Beliau meninggalkan surat agar gaji terakhirnya dibayar kepada mereka yang meminjamkannya wang. - AP

DUA PELACUR MAUT TERJUN PANGSAPURI Oleh Rudy Syareme Sheriffudin (Di Petik Dari Berita Harian pada Khamis, 13.8.2009)

Dua pelacur maut terjun pangsapuri
Oleh Rudy Syareme SheriffudinGEORGETOWN: Dua wanita Vietnam yang disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran, mati selepas terjatuh dari tingkat 11 pangsapuri yang diserbu polis, malam kelmarin. Seorang lagi rakan senegara mangsa yang turut terjatuh dalam kejadian jam 10 malam di Taman Kelangin, Jalan Sungai Pinang, di sini, parah dan dirawat di Hospital Pulau Pinang. Semua mangsa berusia dalam lingkungan 20 tahun. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid, berkata sepasukan anggotanya dari Balai Polis Jalan Patani menerima maklumat mengenai kegiatan pelacuran di kawasan itu.
Berikutan itu, pasukan diketuai Cif Inspektor Jamaludin Ismail melakukan pemeriksaan di tingkat 11 pangsapuri di Taman Kelangin yang didiami beberapa wanita Vietnam. Apabila pintu rumah dibuka, suasana di dalamnya agak riuh dengan beberapa wanita cuba melarikan diri. “Ketika pemeriksaan, ada lima wanita di dalamnya dan tiga daripada mereka cuba menyelamatkan diri dengan melompat melalui tingkap belakang.
“Dua lagi rakan mereka ditahan bagi membantu siasatan,” katanya, semalam. Kedua-dua wanita itu dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. Azam berkata, polis masih menyiasat pembabitan wanita berkenaan dalam kegiatan pelacuran. Sementara itu, polis menahan 28 wanita warga China dipercayai pelayan pelanggan dan pelacur dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney di sini, kelmarin.
Serbuan dilakukan jam 11.15 malam membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dan JSJ Daerah Timur Laut yang diketuai Timbalan Ketua JSJ Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh. Mohd Nasir berkata, serbuan dilakukan hasil pemantauan dua hari kerana pusat itu dipercayai beroperasi tanpa lesen sejak setahun lalu berselindung di sebalik pusat sukan dan rekreasi.

43 TENTERA FILIPINA ,MILITTAN ISLAM TERBUNUH DALAM PERTEMPURAN (Dipetik Dari Berita Harian,Khamis, 13/8/09 )

ZAMBOANGA: Sekurang-kurangnya 23 anggota tentera kerajaan dan lebih 20 anggota kumpulan militan Islam terbunuh dalam pertempuran yang berlarutan selama sehari di Selatan Filipina, sejak semalam. Mayat 23 anggota tentera dan 20 anggota pemberontak Abu Sayyaf itu ditemui selepas berlaku pertempuran sengit di Pekan Ungkaya Pukan, di selatan Pulau Basilan.

Komander Tentera Wilayah, Mejar Jeneral Benjamin Dolorfino, ketika mengesahkan angka kematian itu berkata, pertempuran berlaku apabila tentera menyerbu sebuah kem Abu Sayyaf di pekan berkenaan. Beliau berkata, pihaknya menemui banyak bom buatan sendiri yang sedia untuk digunakan, selain merampas 13 senjata api. - AFP

Monday 3 August 2009

WARTAWAN SUDAN PAKAI SELUAR DIHUKUM SEBAT (Dipetik DARI Beritaharian pada Selasa,4.Ogos.2009








NEW YORK: Seorang wartawan wanita dari Sudan, Lubna Hussein menghadapi 40 sebatan rotan kerana memakai seluar di khalayak ramai, perbuatan yang dianggap melanggar kod pakaian bagi kaum Hawa di negara berkenaan. Lubna adalah antara 13 wanita yang ditahan pada 3 Julai lalu dalam satu serbuan polis di sebuah kafe popular di Khartoum kerana memakai seluar. Wanita yang memakai seluar dianggap perbuatan tidak sopan mengikut interpretasi ketat undang-undang Islam diguna pakai pihak berkuasa Sudan.
Semua wanita berkenaan kecuali tiga orang, disebat di balai polis dua hari kemudian. Lubna dan dua wanita lain mahu dibicarakan dan menjemput kakitangan hak asasi manusia, diplomat Barat dan rakan wartawan kepada perbicaraan mereka, hari ini. Wartawan itu memberitahu hakim bahawa beliau akan meletakkan jawatannya dengan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan, yang memberinya perlindungan diplomatik agar beliau boleh mencabar kod pakaian itu.
Hakim Mudathir Rashid menangguhkan perbicaraan sehingga hari ini bagi memberi Lubna masa untuk meletakkan jawatan. Ketika diwawancara akhbar The Sunday Telegraph, Lubna berkata: "Hukuman sebat sesuatu yang teruk, menyakitkan dan penghinaan terhadap mangsa. "Tetapi, saya tidak takut kena sebat. Saya tidak akan tunduk. Saya mahu pertahankan hak wanita. Di mata dunia, dalam kes ini saya berpeluang menarik perhatian kepada nasib wanita Sudan." Jumaat lalu, Kesatuan Kakitangan PBB menggesa Sudan agar tidak meneruskan sebatan itu dan menyifatkannya sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pula berkata, beliau amat perihatin mengenai kes Lubna dan menyifatkan sebatan di khalayak ramai sebagai mencabuli piawaian hak asasi manusia antarabangsa. – AP/Agensi

IMELDA MAHU BERDAMAI DENGAN KELUARGA AQUINO. (Dipetik dari BeritaHarian pada Selasa,4.Ogos 2009


RIBUAN manusia berhimpun kiri dan kanan jalan ketika keranda Corazon Aquino diusung ke gereja Manila, semalam.


MANILA: Bekas wanita pertama Filipina, Imelda Marcos ingin berdamai dengan keluarga bekas pemimpin, Corazon Aquino, yang memimpin 'revolusi kuasa rakyat' menyebabkan Ferdinand Marcos terpaksa berundur.

Imelda membuat kenyataan itu ketika berpuluh ribu orang melaungkan nama Aquino ketika kerandanya diusung ke gereja Manila melalui jalan raya.

Suami Aquino adalah musuh ketat Marcos dan dibunuh selepas kembali daripada buangan pada 1983. Aquino meninggal dunia hujung minggu lalu kerana kanser usus besar.
"Saya dapat rasa kesakitannya, kehilangan orang yang disayangi, oleh itu saya juga turut berdoa. Jika kedua-dua keluarga ini berdamai, akan wujud keajaiban di Filipina," kata Imelda menerusi televisyen tempatan.

Keluarga Corazon sebelum ini menyatakan anggota keluarga Marcos boleh menghadiri upacara keagamaan bagi bekas presiden itu, tapi jangan mengharapkan sambutan hangat.

Ulasan Imelda itu dibuat selepas anak bongsu Corazon, Kristina Bernadette Aquino mengucapkan terima kasih kepadanya kerana mendoakan ibunya.
"Saya tidak fikir masanya sudah tiba (bagi saya menyatakan ini), tapi terima kasih kepada keluarga Marcos kerana mendoakan ibu saya," kata Kris.

Beribu-ribu orang meninggalkan pejabat, sekolah dan rumah untuk berhimpun di kiri kanan jalan dengan membawa belon kuning, menghayunkan riben kuning dan menabur bunga ke arah keranda Aquino.

Warna kuning adalah simbol penentangan tanpa keganasan yang memaksa Marcos berundur pada 1986. – AP

BOM 13 JUTA KILOGRAM DICIPTA (Dipertik dari Berita Harian pada Selasa,4.Ogos.2009




PESAWAT F-15E Strike Eagle Amerika menggugurkan bom GBU-28 dalam latihan di Florida. Pentagon merancang menghasilkan bom lebih berat daripada GBU-28 dipanggil MOP.





Amerika sasar hapus ancaman nuklear Korea Utara, Iran

WASHINGTON: Pentagon merancang untuk mempercepatkan pengeluaran bom pemusnah kubu bawah tanah 'ultra besar' untuk dipasang pada pesawat pengebom Amerika Syarikat seawal Julai 2010 bagi menghadapi ancaman nuklear Korea Utara dan Iran.

Bom seberat 13 juta kilogram bukan nuklear itu yang dinamakan Penembus Letupan Besar (MOP) masih diuji dan direka cipta untuk memusnahkan kubu bawah tanah yang dalam.

Jika Kongres meluluskan dana untuk pengeluarannya, pesawat pengebom B-52 yang mampu mengelak daripada dikesan radar keluaran firma Northrop Grumman 'berupaya membawa bom itu menjelang Julai 2010,' kata jurucakap tentera udara, Andy Bourland.

"Tentera udara dan Jabatan Pertahanan meneliti kemungkinan mempercepatkan program mengeluarkan bom itu. Perbincangan sudah diadakan dengan empat jawatankuasa Kongres mengenai penggunaannnya. Keputusan muktamad belum dibuat," katanya.

Senjata kawalan untuk sasaran tepat itu dibina oleh Boeing Co dan mungkin menjadi bom terbesar pernah digunakan oleh Amerika.
Ia akan membawa lebih 24,404 kilogram bahan letupan, memberi impak 10 kali ganda berbanding bom BLU-109 seberat 907 kilogram, kata Agensi Pengurangan Ancaman Pertahanan Pentagon yang menaja dan mengendali program berkenaan.

Boeing pembekal senjata nombor dua bagi Pentagon. Firma itu sedia menandatangani kontrak dalam masa 72 jam bagi membina bom MOP sebaik saja Kongres meluluskannya, kata Bourland.

Agensi pengurangan ancaman itu bekerjasama dengan Tentera Udara bagi program menguji dan menggunakan bom itu, kata jurucakapnya, Betsy Freeman.

Ibu Pejabat Tentera Amerika di Pasifik yang mengetuai perancangan persediaan pertahanan menghadapi ancaman Korea Utara dan Ibu Pejabat Pusat yang menguruskan misi menghadapi Iran, dilaporkan menyokong untuk mempercepatkan pengeluaran bom itu, kata Kenneth Katzman, pakar mengenai Iran di jabatan Perkhid-matan Penyelidikan Kongres. – Reuters





PESAWAT F-15E Strike Eagle Amerika menggugurkan bom GBU-28 dalam latihan di Florida. Pentagon merancang menghasilkan bom lebih berat daripada GBU-28 dipanggil MOP.

Korban jangkitan paru-paru meningkat di China (Di Petik dari Berita Harian pada Selasa,4 Ogos 2009

BEIJING: Seorang lagi penduduk bandar Ziketan, barat laut China, maut kerana jangkitan paru-paru menyebabkan pihak berkuasa menyekat laluan keluar dan masuk dari kawasan itu.

Kematian terbaru menjadikan dua orang maut, manakala 12 lagi disahkan dijangkiti penyakit paru-paru yang boleh membawa maut itu, lapor agensi berita rasmi, semalam.

Pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di China memberitahu, ia menjalin hubungan rapat dengan pihak berkuasa kesihatan tempatan dan langkah menyekat jangkitan dengan mengenakan kuarantin adalah wajar.

Lelaki yang maut kelmarin dikenali sebagai Danzin, 37, dari bandar Ziketan, wilayah Qinghai, lapor Xinhua.

Danzin adalah jiran kepada mangsa pertama, seorang gembala berusia 32 tahun. Kebanyakan orang lain yang dijangkiti adalah saudara mangsa pertama dan diasingkan untuk rawatan di hospital.

Bandar yang mempunyai 10,000 penduduk itu sudah ‘ditutup’ dan sepasukan pakar dihantar ke kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan memberi amaran, sesiapa yang batuk atau demam selepas melawat Ziketan pada pertengahan Julai wajar mendapatkan rawatan di hospital.

Seorang peniaga dikenali sebagai Han, di Pasar Crystal Alley di Ziketan berkata, pihak berkuasa mengarahkan kediaman dan kedai dibersihkan dan penduduk wajar memakai topeng apabila keluar.

Katanya, 80 peratus kedai di bandar itu sudah ditutup dan harga bahan pembunuh kuman meningkat beberapa kali ganda.

“Orang ramai ketakutan. Tidak ramai berani keluar. Ada polis melakukan kawalan tetapi tidak di jalan raya,” kata Han.
Di Bangkok, Menteri Kesihatan Thailand, Witthaya Kaewparadai, meminta agensi kesihatan dan orang ramai berjaga-jaga dengan perkembangan di China, walaupun belum melarang warga negaranya mengunjungi negara itu.

Kali terakhir jangkitan paru-paru meletus di Thailand pada 1952.

Witthaya berkata, beliau mengarahkan Setiausaha Tetap kementerian itu menentukan sama ada penyakit itu tersebar dari udara, disebarkan oleh manusia atau sistem pernafasan. - Agensi