Waktu Brunei

Wednesday 17 June 2009

JAMU MATA DI DUBAI Oleh Ahmad Naim Tahir (Dipetik dari Beritaharian,18 Jun 2009)


Koleksi abaya, emas dan keindahan kota batu jadi tarikan pelancong ABAYA, abaya, abaya. Selama tiga hari penulis dan rakan berada di Dubai, satu daripada tujuh negeri di Emiriah Arab Bersatu (UAE), perkataan itu sering disebut-sebut sehingga seorang kenalan yang bekerja di kota itu mengusik rakan tadi sudah 'gila abaya'. Abaya adalah jubah moden yang boleh digayakan dalam pelbagai fesyen dan diperbuat dalam pelbagai saiz, termasuk untuk kanak-kanak yang sesuai dipakai pada majlis keagamaan atau hari raya.


Kekurangan kawasan bersejarah tidak menghalang Dubai membangunkan sektor pelancongannya melalui aktiviti beli-belah, pusat peranginan dan hotel mewah serta bangunan pencakar langit yang unik dan menarik. Ada juga tarikan lain seperti Muzium Dubai yang mempamerkan pelbagai khazanah silam, termasuk alat muzik, elemen kehidupan di padang pasir serta senjata perang, namun bagi kebanyakan pelancong, membeli-belah lebih utama. Waktu senggang memberi peluang kami bersiar-siar di sekitar kota Dubai, sempat menjamu selera di kedai makan milik rakyat Malaysia serta berehat di tepian pantai. Sempat juga ke Palm Jumeirah, pulau buatan manusia berbentuk pokok palma yang turut menempatkan pusat peranginan mewah, Atlantis The Palm yang kadar sewa bilik termahalnya mencecah lebih RM85,000 satu malam!

Hotel itu yang dibina mencontohi pusat peranginan di Bahamas menyediakan hiburan keluarga bertemakan lautan yang dilengkapi akuarium gergasi terbuka menempatkan 65,000 jenis ikan. Palm Jumeirah atau dikenali juga dengan nama Palm Dubai atau The Palms adalah antara tiga pulau buatan manusia yang terkenal dan dianggap sebagai keajaiban kelapan dunia. Burj Al-Arab, sebuah lagi hotel mewah di Dubai yang dipromosi sebagai hotel tujuh bintang pertama di dunia dengan kemudahan di situ hanya mampu dilanggan mereka yang cukup kaya. Pada sebelah malam, bangunan itu menawarkan pemandangan yang cukup cantik apabila lampu yang meneranginya bertukar warna dari semasa ke semasa mengikut tema air dan api. Bagi yang gilakan barangan kemas, Pasar Emas atau Gold Souq menempatkan deretan kedai yang boleh membuatkan wanita rambang mata memilih pelbagai jenis rekaan emas putih dan kuning. Beberapa kompleks beli-belah seperti Mall of the Emirates dan Dubai Mall turut kami kunjungi, tetapi wang belanja terhad membuatkan barangan yang mampu dibeli hanya minyak wangi dan tali pinggang berjenama pada harga lebih murah berbanding Malaysia. Jika tidak dihalang batasan waktu, mahu juga merasai pengalaman bermalam di padang pasir dan menjalani kehidupan gaya puak Badawi, tetapi letih bersiar-siar dan membeli-belah membantutkan hasrat itu. Tidak puas tiga hari di Dubai, namun kunjungan kali pertama ini amat berbaloi walaupun tangan lenguh mengheret beg yang penuh dengan abaya. Info Dubai
· Mempunyai lebih 1.4 juta penduduk, paling ramai di UAE
· Dikatakan berasal daripada perkataan Daba yang bermaksud menjalar
· Keluasan 1.287 juta kilometer persegi
· Bahasa rasmi, Arab tetapi Inggeris digunakan dengan meluas

PYONGYANG UGUT SERANG JIKA DIGANGU AMERIKA. (Dipetik dari beritaharian 18 Jun 2009)



Pyongyang ugut serang jika diganggu Amerika Pakar sahkan peluru berpandu boleh disasar hingga ke AS SEOUL: Korea Utara semalam memberi amaran akan melancar serangan balas '1,000 kali ganda' jika digugat Amerika Syarikat dan sekutunya, amaran terbaru negara komunis itu selepas dikecam dan dikenakan tindakan sekatan antarabangsa berikutan langkahnya membuat ujian nuklear. Akhbar Jepun dan Korea Selatan melaporkan Pyongyang sedang menyiapkan lokasi pelancaran bagi menguji peluru berpandu jarak jauhnya yang menurut pakar boleh menyasarkan Amerika Syarikat. Timbalan Menteri Russia berkata, pihaknya akan menembak mana-mana peluru berpandu yang ditujukan ke arah negaranya.
Amaran serang balas oleh Pyongyang itu yang disiarkan oleh media Korea Utara, dibuat beberapa jam selepas Presiden Barack Obama mengisytiharkan negara komunis itu sebagai 'ancaman besar' kepada dunia dan berjanji akan melaksanakan sekatan yang diluluskan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini. Obama dan Presiden Korea Selatan mengadakan pertemuan di Washington kelmarin dan bersetuju mewujudkan pakatan strategik global bagi memujuk Pyongyang membubarkan senjata nuklearnya. Pyongyang berkata, bom nuklearnya adalah sebagai penghalang kepada Amerika Syarikat yang didakwanya merancang dengan Seoul untuk menjatuhkan rejim diketuai diktator Kim Jong Il yang baru-baru ini mengumumkan pelantikan anak lelakinya berusia 26 tahun sebagai pengganti.
"Jika AS atau pengikutnya mencabul kedaulatan republik itu walau sedikit sekalipun, tentera dan rakyat kami akan melancarkan serangan balas 1,000 kali ganda," kata akhbar Korea Utara, Minju Joson. Komentar itu yang juga disiarkan oleh agensi berita, Korean Central News Agency, juga menggelar Obama 'seorang hipokrit' kerana mencadangkan dunia bebas nuklear tetapi pada masa sama membangunkan senjata nuklear baru. "Program nuklear bukanlah monopoli AS," katanya. – AP

KES PENULARAN PERTAMA H1N1 DI MALAYSIA (Dipetik dari beritaharian 18 Jun 2009)

NORSYAFIQAH Ainaa Norhishaammudin (kiri), 18, bersama adik tirinya, Shaffa Ira Mazlan, 17, membuat pemeriksaan Influenza A (H1N1) selepas pulang bercuti dari Dubai di Hospital Sungai Buloh, semalam.

PUTRAJAYA: Malaysia mencatat kes penularan Influenza A (H1N1) pertama dalam negara, membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun. Pelajar itu antara lima kes baru H1N1 dikesan sejak 24 jam lalu, menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 23. Beliau, yang juga kes ke-19 H1N1 di negara ini, mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB). Berikutan kes pertama penularan tempatan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditemui pemberita di Kuching, berkata Kabinet semalam mengarahkan Jawatankuasa Influenza Antara Kementerian mengenal pasti tindakan yang lebih selaras bagi menangani wabak H1N1.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan bermesyuarat pagi ini, sehari lebih awal daripada jadual asal pada Jumaat. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pula berkata kerajaan mungkin menghalang penduduk mengadakan aktiviti terbuka sekiranya jangkitan virus H1N1 ke atas pelajar itu menunjukkan ia telah tersebar. Ketika ini, 20 individu yang dikesan pernah bertemu dengan pelajar itu dikuarantin di wad khas HSB bagi tindakan kawalan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican, berkata pelajar yang tidak mempunyai sejarah melawat negara diisytiharkan berlaku H1N1 itu, mula batuk dan selesema pada jam 9 malam Ahad lalu dan demam keesokannya. "Ketika siasatan, kes ke-19 melaporkan beliau adalah kontak kepada kes ke-12, iaitu pelajar perubatan yang disahkan positif H1N1 pada 13 Jun lalu. "Bagaimanapun, sebelum ini beliau tidak pernah diisytiharkan sebagai seorang kontak kepada kes ke-12, menyebabkan pengawasan dan kuarantin awal ke atasnya tidak dilakukan," katanya dalam satu kenyataan semalam. Mohd Ismail mahu semua kes yang disahkan positif H1N1 memberi maklumat lengkap supaya pengawasan dan kuarantin awal dapat dilakukan. Tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dikenakan terhadap mereka yang gagal berbuat demikian.
Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Teknikal H1N1 juga memutuskan supaya kementerian mengeluarkan arahan melarang kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah pergi atau dibawa ke hospital kecuali untuk rawatan. Orang awam pula tidak digalak melawat hospital, manakala setiap pesakit hanya dibenarkan menerima dua pelawat pada satu masa dan tempoh melawat bagi hospital kerajaan serta swasta akan dipendekkan. Saringan demam juga akan dilakukan kepada semua pelawat yang melawat pesakit di hospital kerajaan dan swasta. Mengenai empat lagi kes yang dikesan sejak 24 jam lalu, Mohd Ismail berkata kes ke-20 membabitkan pelajar universiti awam tempatan berusia 23 tahun yang membuat lawatan sambil belajar bersama 12 rakan dan pensyarah ke Melbourne, 7 Jun lalu. Pelajar itu, yang pulang dari Melbourne dengan penerbangan Air Asia X D7 2723 (tempat duduk 37J) dan tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada jam 7.15 pagi 14 Jun, dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan dan kementerian masih mengesan 37 kontak kes berkenaan. Kes ke-21 membabitkan pelajar perubatan sebuah universiti di Melbourne berusia 20 tahun yang pulang bercuti dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat MH128 kelmarin di mana tempat duduknya ialah 20K. Kes ke-22 pula membabitkan lelaki berusia 54 tahun yang mempunyai sejarah urusan perniagaan di Manila selama tiga hari mulai 9 Jun lalu. Dia, yang mula mengalami gejala demam, batuk dan sakit kepala dua hari selepas pulang Jumaat lalu, menaiki penerbangan MH705 ke KLIA dan duduk di kerusi 32H. Sementara itu, pelajar perempuan warga tempatan berusia 22 tahun yang baru pulang dari Melbourne, menjadi kes H1N1 ke-23 di negara ini. Pelajar yang menaiki pesawat Air Asia X D7 2723, tiba di LCCT, Ahad lalu dan duduk di kerusi 48H. Mohd Ismail berkata, kementerian sedang mengesan penumpang dan anak kapal penerbangan terbabit, terutama yang duduk di tiga barisan dan belakang kerusi berkenaan untuk pengawasan. Mereka boleh menghubungi talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk keterangan lanjut.